Wednesday, December 15, 2010

Dr Mahathir Galak Rakyat Jadikan Emas Sebagai Simpanan


KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa orang ramai cuba menyimpan emas sebagai simpanan mereka berbanding mata wang kerana nilai emas lebih terjamin dan sukar untuk jatuh dengan nilai besar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata nilai mata wang tidak terjamin kerana ia bergantung kepada pasaran tukaran mata wang dunia yang sentiasa berubah-ubah.

Menurut beliau, ada kalanya nilai mata wang akan jatuh dengan teruk apabila berlaku sesuatu krisis kewangan di sesebuah negara.

"Mata wang hanyalah sehelai kertas yang digunakan untuk mewakili nilai tertentu tetapi bukan nilai sebenar namun emas boleh mewakili nilai sebenar kerana ia sebuah logam berharga di seluruh dunia,"

"Simpanan emas juga lebih terjamin jika ingin menjualnya kerana harganya sentiasa meningkat dan ia boleh membantu orang ramai menghadapi inflasi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk emas Geneva Malaysia di sini malam ini.

Produk emas itu terdiri daripada jongkong pelbagai berat dihasilkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-Arab Saudi (MSAF) dan Persatuan Usahawan Jongkong Emas Malaysia (GBEAM) yang dikeluarkan untuk memenuhi keperluan syariah.

MSAF dan GBEAM menyasarkan syarikat swasta dan orang ramai untuk mendapatkan produk berkenaan sebagai urusan dalam pelbagai transaksi terutamanya jualan dan belian.

Dr Mahathir berkata satu ketika dahulu, satu auns emas bernilai RM109.79 tetapi kini satu auns emas bernilai kira-kira RM4390.40.

Beliau berkata orang ramai boleh menyimpan emas dalam bentuk barang kemas yang mudah didapati di seluruh negara dan ia mampu untuk dimiliki.

-- BERNAMA

Sudah Tiba Masanya Perdagangan Beralih Kepada Penggunaan Dinar Emas, Dr Mahathir


LANGKAWI, 15 Dis (Bernama) -- Perdagangan pada peringkat antarabangsa kini sepatutnya sudah beralih kepada penggunaan dinar emas berikutan nilai dolar US yang semakin merosot, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya nilai emas tidak mudah turun menyebabkan nilainya lebih sesuai digunakan pada peringkat antarabangsa berbanding penggunaan dolar Amerika ketika ini.

"Sebelum ini, US$35 bersamaan satu aun emas. Hari ini, satu aun emas bersamaan US$1,400. Ini bermakna dolar US sudah merosot. Inilah masalah yang dihadapi oleh mata wang fiat...nilainya merosot dengan pantas dan banyak tetapi emas tidak susut nilai sedemikian. Jadi, apabila anda membeli dan menjual menggunakan dinar emas, anda mendapat nilai sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kewangan dan Ekonomi Islam Langkawi Ke-dua (2LIFE) yang berakhir pada hari Rabu.

"Ini tidak bermakna kita perlu membawa emas dan membuat pembayaran dagangan berasaskan nilai emas yang boleh dilakukan melalui transaksi lain," katanya.

Mengenai penggunaan dinar emas di Kelantan, beliau berkata keadaan ketika ini tidak sesuai untuk menggunakan emas sebagai mata wang tetapi lebih sesuai digunakan untuk perdagangan import dan eksport.

Mengenai sistem kewangan Islam, Dr Mahathir berkata ia sepatutnya digunakan untuk membantu negara-negara Islam yang miskin supaya sehingga semua negara tidak lagi miskin.

"Ada negara Islam kaya dan ada yang miskin. Patut ada imbangan. Kita gunakan kewangan Islam kita untuk menabur kepada negara yang miskin. Guna pasaran Islam yang baik...mereka jadi kaya," katanya.

Katanya apa yang penting sistem Islam itu berkembang dengan sendiri dan negara-negara Islam menggunakannya untuk manfaat negara-negara Islam.

"Kewangan Islam akan menjadi (berkesan) bila kita berjaya. Sekarang ini kita lihat orang bukan Islam pun gunakan perbankan Islam...sukuk semua tu. Kewangan Islam ini penting."

"Kalau tak faham selok belok bank dan cara nak bayar hutang, kita takkan dapat manfaat sepenuhnya," katanya.